Kestabilan, geografi strategik dan rakyat majmuk jadi kekuatan Malaysia – Steven Sim

Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berucap pada Bisnes Sinar Harian Awards 2026/FotoBERNAMA

PETALING JAYA, 6 Mei – Malaysia mempunyai pelbagai kekuatan untuk terus berdaya tahan dan kompetitif dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global serta cabaran geopolitik semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kestabilan cuaca dan politik serta kepimpinan mampu memacu negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
  • Kedudukan geografi strategik dari segi fizikal, geopolitik dan geoekonomi meletakkan Malaysia pada posisi penting serantau.
  • Masyarakat majmuk yang menguasai pelbagai bahasa dan budaya menjadi aset besar dalam hubungan antarabangsa dan inovasi.
  • Ekosistem keusahawanan diperkukuh melalui inisiatif seperti BiSA Awards, mengiktiraf ketahanan, integriti dan sumbangan usahawan tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, kekuatan tersebut merangkumi faktor cuaca dan iklim yang stabil, kedudukan geografi yang strategik serta kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini.

Ketiga-tiga elemen itu menjadi asas penting dalam menyokong pertumbuhan ekosistem keusahawanan negara, sekali gus membolehkan Malaysia kekal berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

“Malaysia mempunyai tiga kekuatan utama yang mampu membantu negara terus berjaya. Pertama, faktor iklim dan kestabilan dalaman. Kita dikurniakan iklim yang sesuai, kestabilan politik serta kepimpinan yang berupaya memacu negara ke hadapan.

“Kedua, kedudukan geografi yang strategik, sama ada dari sudut fizikal, geopolitik mahupun geoekonomi, yang meletakkan Malaysia pada posisi penting di rantau ini.

“Ketiga, faktor insan. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, menguasai pelbagai bahasa serta memahami pelbagai budaya dan peradaban dunia merupakan kekuatan besar negara,” jelas beliau dalam ucapan pada Bisnes Sinar Harian Awards (BiSA) 2026 di sini hari ini.

Tambah beliau, ketidaktentuan global itu tidak menghalang negara untuk terus maju, malah membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan inovasi.

BiSA Awards 2026 merupakan inisiatif berkepentingan nasional bagi mengiktiraf ketahanan, integriti serta sumbangan signifikan usahawan tempatan terhadap ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti.

Ia juga dilihat sebagai platform penting dalam menyemarakkan semangat keusahawanan, selain memberi penghargaan kepada individu dan syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.