
MAKKAH, 7 Mei – Bayaran tinggi bagi pakej haji tidak menjamin seseorang bakal jemaah memperoleh peluang menunaikan ibadah haji, memandangkan semua tempat serta rayuan masih tertakluk kepada sistem giliran Lembaga Tabung Haji (TH).
- Bakal jemaah terpedaya dengan tawaran pakej premium yang kononnya mempercepatkan kelulusan rayuan.
- Permohonan dan rayuan perlu melalui proses ditetapkan Tabung Haji, tidak dipengaruhi harga pakej.
- Berhati-hati; buat semakan dan pilih hanya syarikat dilesenkan oleh Tabung Haji, hanya 34 syarikat.
- Sindiket guna media sosial, tawaran jalan pintas dan jaminan tempat tanpa saluran sah; syarikat ingkar boleh dikenakan tindakan tegas.
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, masih terdapat bakal jemaah yang terpedaya dengan tawaran pakej premium kononnya mampu mempercepatkan kelulusan rayuan haji.
Beliau menegaskan perkara itu tidak benar kerana setiap permohonan dan rayuan perlu melalui proses ditetapkan TH tanpa dipengaruhi harga pakej.
“Bagaimanapun, saya mengambil kesempatan walaupun sedang berada dalam operasi haji untuk mengingatkan semua supaya berhati-hati dan memilih hanya syarikat yang dilesenkan oleh Tabung Haji. Ini platform terbaik dan setiap kali ada peluang, saya akan tegaskan perkara yang sama,” katanya.
Menurut beliau, sikap tergesa-gesa membuat keputusan menjadi antara faktor utama jemaah terperdaya dan menjadi mangsa penipuan.
Katanya, walaupun maklumat rasmi telah disalurkan, masih ada pihak yang tidak membuat semakan dan akhirnya menjadi mangsa skim tidak sah.
“Sindiket juga menggunakan pelbagai helah termasuk promosi di media sosial, tawaran jalan pintas dan jaminan tempat haji tanpa melalui saluran sah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan kerana hanya 34 syarikat dilesenkan oleh Tabung Haji.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata mana-mana syarikat PJH yang gagal mematuhi syarat atau tidak menunaikan perkhidmatan seperti dijanjikan boleh dikenakan tindakan tegas.