
KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Seorang bekas pengarah syarikat perisian dan teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan atas pertuduhan melakukan pecah amanah RM5.5 juta serta pengubahan wang haram berjumlah RM403,000 pada 2019.
- Didakwa pecah amanah RM5.5 juta yang diamanahkan untuk pembelian 51% ekuiti C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.
- Tertuduh didakwa memindahkan dana ke akaun firma guaman kemudian ke akaun Er Yan Shuen kononnya untuk pembelian tiga lot kedai pejabat.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan; Mahkamah membenarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.
- Didakwa pengubahan wang haram RM403,000 dengan arahan pemindahan ke akaun Syarikat Permata Global; kes dipindah dan guna pakai jaminan.
Tertuduh, Datuk Seri Liew Kok Leong, 53 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad dan Suzana Hussin.
Bagi pendakwaan pecah amanah, tertuduh yang ketika itu pengarah syarikat ARB Development Sdn Bhd didakwa telah diamanahkan dana syarikat berjumlah RM5.5 juta bagi tujuan pembelian 51 peratus ekuiti, (bersamaan dengan 255,000 unit saham biasa) dalam syarikat C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana itu dengan memindahkan wang ke dalam akaun sebuah firma guaman sebelum dipindahkan ke akaun bank milik Er Yan Shuen, 55 tahun, kononnya bagi tujuan pembelian tiga lot kedai pejabat di Tigerlane Square di Ipoh, Perak.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Stesen Sentral 2 antara 6 Mei 2019 dan 17 Jun 2019, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julianaazrina Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam Zander Lim Wai Keong.
Hakim Muhammad Ilmami kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Disember depan untuk sebutan kes.
Sementara itu di hadapan Hakim Suzana, tertuduh didakwa telah melibatkan diri dalam transaksi hasil daripada kegiatan haram iaitu dengan mengarahkan Er untuk memindahkan wang RM403,000 daripada akaun bank miliknya ke akaun bank Syarikat Permata Global Sdn Bhd.
Hakim Suzana kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini dan mengguna pakai jaminan RM200,000 serta syarat tambahan sama sehingga kes selesai.