
KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER – Anggota Kabinet perlu menekankan keperluan untuk mempertimbang anjakan dalam dasar utama bagi memperkukuh daya tahan, industri dan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, saranan itu bagi memastikan daya saing industri tempatan ke pasaran antarabangsa dapat ditingkatkan.
Tambahnya, Malaysia kaya dengan sumber, modal insan dan keupayaan yang diperlukan untuk terus maju, namun usaha penambahbaikan dasar perlu dilaksanakan secara berterusan.
Selain itu, prestasi memberangsangkan menerusi sektor perindustrian, khususnya elektrik dan elektronik (E&E), membuktikan negara berada pada landasan tepat untuk terus berkembang sebagai negara berdaya saing.
“Bagi saya, meskipun berdepan pelbagai kekangan, sama ada dalam peralihan daripada pemprosesan back-end kepada front-end, fabrikasi wafer (wafer fab) mahupun bidang-bidang baharu yang perlu kita terokai, saya percaya bahawa kita berada di landasan yang betul.
“Namun, kita perlu sentiasa merendah diri untuk mengakui bahawa masih terdapat ruang dan peluang untuk penambahbaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di sini.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar turut yakin bahawa Malaysia boleh maju sebagai sebuah negara yang unggul melalui usaha berterusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kerjasama dengan industri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan dengan yakin sedang merangka dasar-dasar ekonomi serta negara.