
KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Penglibatan aktif pemain industri penting bagi memastikan negara kekal berdaya saing dalam mendepani perubahan ekonomi yang semakin dinamik.
- Kerajaan mesti bentuk dasar komprehensif dan responsif supaya selaras dengan keperluan sektor sebelum merangka belanjawan.
- Pertumbuhan ekonomi mesti diiringi kesaksamaan; limpahan faedah dinikmati semua lapisan serta merapatkan jurang wilayah dan golongan terpinggir.
- Tumpuan kepada pembangunan keupayaan industri moden serta kesiapsiagaan generasi baharu, bukan bergantung pada pendekatan lama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata kepesatan perubahan ekonomi itu perlu disokong dasar kerajaan yang komprehensif dan responsif bagi memenuhi keperluan industri tempatan.
“Keselarasan itu sekali gus penting bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang seiring perubahan semasa.
“Sebab itu ketika merangka Belanjawan 2027 baru-baru ini, saya ingatkan kawan-kawan saya di Perbendaharaan…saya kata, jangan kita mula dengan kerangka kita. Kita harus mula dengan kerangka semua sektor di bawah. Kemudian baharu kita lihat apakah ia boleh diserasikan dengan lakaran yang harus kita bentangkan atau perlu ada sedikit pengubahsuaian,” jelas Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di ibu negara.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar juga menegaskan kerajaan akan terus beri tumpuan agar limpahan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.
Beliau berkata, iltizam itu sekali gus bagi merapatkan jurang antara wilayah, termasuk golongan miskin dan terpinggir di kawasan pedalaman khususnya yang masih ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi.
Langkah ini katanya penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan kesaksamaan sosial.
“Kita tak boleh bincang dan bicara soal memacu pertumbuhan, eksport yang tinggi, angka yang menakjubkan tetapi kesenjangan (jurang) dan inequality (ketidaksamaan) melebar. Kelompok miskin terpinggir, sama ada di Hulu Kelantan atau di Kapit, Sarawak, terbiar. Tidak boleh.
“Jadi negara kita ini harus mempunyai suatu pendekatan memusatkan perhatian kita langkah-langkah yang khusus untuk mengangkat ekonomi menggapai di langit, tapi masih mengakar di bumi,” jelas Perdana Menteri lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pembangunan negara kini memerlukan kesediaan generasi baharu untuk merancang serta mendepani ekosistem ekonomi masa hadapan.
“Ia khususnya dengan menfokuskan pendekatan keupayaan industri moden, bukannya bergantung kepada pendekatan lama yang lapuk untuk memajukan ekonomi,” ujar beliau.