
KUALA LUMPUR, 6 Mei– Teka-teki mengenai hak penyiaran Piala Dunia 2026 akhirnya terjawab apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan berprestij itu.
- Presiden SAM, Norismadi Abd Manap, menyambut baik pengumuman sebagai penamat kepada kegusaran peminat bola sepak tempatan.
- Pengumuman itu memberi kelegaan kepada peminat yang bimbang terlepas aksi perlawanan pada Jun dan Julai.
- Langkah kerajaan dan kementerian menunjukkan kepekaan terhadap denyut nadi rakyat, khususnya peminat bola sepak.
- Akses menyeluruh: siaran percuma melalui RTM, MyTV, aplikasi RTM Klik; Unifi TV siarkan kesemua perlawanan, RTM siarkan banyak secara langsung atau tertunda.
Pengumuman tersebut disambut baik oleh Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai penamat kepada kegusaran peminat bola sepak tempatan sebelum ini.
Jelasnya, kebimbangan peminat terhadap kemungkinan terlepas aksi perlawanan pada Jun dan Julai itu kini terubat, sekali gus membolehkan mereka kembali teruja menantikan temasya berkenaan.
“Perkembangan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada peminat, malah membuktikan kerajaan peka terhadap kegusaran yang disuarakan sebelum ini.”
“Saya merakamkan penghargaan atas usaha Kementerian Komunikasi yang sangat bermakna ini kerana ia jelas memahami denyut nadi rakyat, khususnya peminat bola sepak, untuk bersama-sama merasai keterujaan kejohanan tersebut,” katanya ketika dihubungi RTM.
Bagi memastikan akses menyeluruh kepada orang ramai, perlawanan bakal ditawarkan menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma (Free-to-Air) melalui RTM, MyTV dan aplikasi RTM Klik.
Sementara itu, bagi peminat yang mahukan liputan komprehensif, Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung manakala RTM pula akan membawakan sebahagian besar perlawanan sama ada secara siaran langsung atau tertunda.