MCMC kesan lebih 600 kandungan palsu krisis tenaga

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil /RTM

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan lebih 600 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga dan isu bekalan global yang dipercayai disebarkan melalui tindakan terancang atau Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan yang dikesan sejak 29 Mac lalu itu merangkumi pelbagai kategori termasuk isu harga bahan api serta dakwaan tidak berasas berkaitan tol di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC mengesan corak Coordinated Inauthentic Behavior; posting gunakan grafik sama, muncul dalam julat masa sama dan sebaran cuba diperluas.
  • Kandungan merangkumi isu harga bahan api dan dakwaan tidak berasas berkaitan tol di Selat Hormuz.
  • Lima kes telah dan akan didakwa di mahkamah; lapan kes dikompaun, jumlah kompaun RM200,000.
  • Beberapa kes masih dalam siasatan atau menunggu tindakan Timbalan Pendakwa Raya, pihak berkuasa bimbang menimbulkan spekulasi dan panik.

“Dari pengamatan pihak MCMC dan dari segi siasatan, tidak boleh diketepikan kemungkinan berlaku satu tindakan yang tersusun untuk menyebarkan maklumat palsu apabila disebut sebagai Coordinated Inauthentic Behavior ataupun CIB.

“Memandangkan sejumlah posting ini sama ada menggunakan grafik yang sama, muncul pada lebih kurang julat masa yang sama dan sebaran yang cuba untuk diperluas.”katanya demikian dalam Sidang Media Mingguan di Angkasapuri,Kota Media.

Susulan penemuan itu, beliau memaklumkan sebanyak lima kes telah dan akan didakwa di mahkamah, manakala lapan kes lagi telah dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000.

Tambahnya, beberapa kes lain masih dalam siasatan atau menunggu tindakan lanjut Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau turut menjelaskan, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan sebahagian kandungan itu adalah usaha terancang untuk menyebarkan maklumat palsu, selain menimbulkan spekulasi dan panik dalam kalangan orang awam.