Op NAGA : Perkukuh kedaulatan perairan, 639 tangkapan bernilai RM244 juta

Foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Sebanyak 639 kes tangkapan dengan nilai rampasan mencecah RM244 juta direkodkan menerusi Operasi NAGA (Op NAGA) sejak 2019 hingga 31 Mac 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op NAGA gerakkan pendekatan whole of government dengan 17 agensi bagi memperkukuh kedaulatan dan melindungi sumber ekonomi laut.
  • Hotspot tangkapan tertinggi: Barat Terengganu 436 kes; Timur Sarawak 128 kes; Timur Sabah 75 kes.
  • Sejak 2019 direkodkan 180,767 pemeriksaan dan 5,139 penahanan nelayan asing terlibat aktiviti IUU Fishing.
  • Komunikasi strategik melalui Bengkel CSCWG 2026 penting untuk urus naratif, persepsi dan keyakinan awam serta tingkatkan keberkesanan operasi.

Ini sekali gus membuktikan ketegasan berterusan Malaysia dalam membanteras pencerobohan asing dan aktiviti perikanan haram di perairan negara.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan memaklumkan operasi bersepadu yang digerakkan melalui pendekatan ‘whole of government’ itu melibatkan kerjasama 17 agensi keselamatan dan penguatkuasaan, sekali gus memperkukuh usaha mempertahankan kedaulatan negara serta melindungi sumber ekonomi laut.

Daripada jumlah keseluruhan, perairan Barat Terengganu merekodkan tangkapan tertinggi dengan 436 kes, diikuti Timur Sarawak sebanyak 128 kes dan Timur Sabah, 75 kes.

Sejak pengaktifannya pada April 2019, Op NAGA turut merekodkan sebanyak 180,767 pemeriksaan serta penahanan 5,139 nelayan asing dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang terlibat dalam aktiviti Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pencerobohan vesel nelayan asing bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjadi ancaman langsung kepada kedaulatan negara dan keselamatan perairan.

“Aktiviti ini turut memberi kesan besar kepada industri perikanan tempatan serta menjejaskan ekosistem marin negara yang tidak ternilai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Op NAGA yang diselaraskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi awam lain, membuktikan keberkesanan operasi bersepadu dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, khususnya di Laut China Selatan.

Dalam masa sama, penganjuran Bengkel Combined Strategic Communication Working Group (CSCWG) Op NAGA 2026 yang berlangsung pada 4 hingga 5 Mei lalu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh strategi komunikasi operasi melibatkan 17 agensi.

Jelas beliau, dalam era dominasi maklumat digital, kejayaan operasi keselamatan tidak hanya diukur melalui tangkapan, tetapi juga keupayaan mengurus naratif, persepsi dan keyakinan awam secara berkesan.

“Komunikasi strategik yang terselaras adalah benteng penting dalam memastikan setiap kejayaan operasi dapat disampaikan kepada rakyat dengan tepat dan diyakini,” jelasnya.

Gabungan kekuatan operasi dan komunikasi strategik ini dijangka terus memperkukuh keberkesanan Op NAGA sebagai benteng utama negara dalam mengekang pencerobohan asing serta jenayah rentas sempadan di perairan Malaysia.