150 PATI, 13 majikan ditahan dalam 32 operasi seluruh negara

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban / BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 MeiJabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 150 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 13 majikan dalam 32 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di pelbagai lokasi strategik seluruh negara pada Isnin lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • PATI ditahan bawah Akta Imigresen; pembatalan pas dan pengusiran akan dikenakan terhadap yang melanggar syarat.
  • Majikan ditangkap disyaki menggajikan asing tanpa dokumen sah; tindakan undang-undang tegas akan dikenakan.
  • JIM komited memperkukuh penguatkuasaan dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai PATI atau aktiviti mencurigakan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi tersebut, kesemua PATI terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menjelaskan, 13 majikan turut ditangkap kerana disyaki menggajikan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Jabatan ini memandang serius isu penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), khususnya melibatkan warga asing yang bekerja tidak mengikut sektor yang diluluskan.

“Tindakan tegas termasuk pembatalan pas dan pengusiran akan diambil terhadap mereka yang melanggar syarat”, ujarnya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa pas yang sah.

Beliau turut menegaskan bahawa JIM tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tindakan perundangan ke atas majikan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengelakkan eksploitasi tenaga kerja asing di negara ini.

Tambahnya, JIM kekal komited dalam memperkukuh penguatkuasaan dan menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kehadiran warga asing tanpa izin.