Op Green Shield : AKPS rampas lebih 420,000 kilogram sisa e-waste

Foto RTM

KUALA LUMPUR 6 Mei – Lebih 420,000 kilogram sisa elektronik (e-waste) dan barang buangan terjadual berjaya dirampas oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang dalam Op Green Shield 28 yang dilaksanakan hari ini. (Rabu)

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu Op Green Shield 28 diketuai AKPS Pelabuhan Klang bersama Kastam, JAS, SIRIM dan LPK.
  • Pemeriksaan mendapati 17 kontena mengandungi e-waste seberat 396,421 kilogram.
  • Dua kontena mengandungi barang buangan terjadual kod SW417 seberat 24,534 kilogram dan kini disimpan menunggu notis JAS.
  • Siasatan awal kes temui pengisytiharan palsu borang K1; kes diserahkan kepada Kastam, AKPS lanjutkan pemeriksaan selaras larangan import e-waste.

Operasi bersepadu itu diketuai AKPS Pelabuhan Klang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, DCP Datuk Nik Ezanee bin Mohd Faisal berkata seramai 13 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam pemeriksaan ke atas 25 kontena bermula pukul 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari.

Ujarnya, pemeriksaan berkenaan dilakukan bagi memastikan kandungan kotena mematuhi peraturan serta bebas daripada bahan terlarang.

“Hasil pemeriksaan mendapati 17 kontena mengandungi e-waste seberat 396,421 kilogram.

“Manakala dua kontena lagi mengandungi barang buangan terjadual kod SW417 dengan berat 24,534 kilogram”, jelasnya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya keseluruhan rampasan berjumlah 420,955 kilogram.

Kesemua kontena kini ditempatkan di lokasi selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor serta ibu pejabat JAS bagi tujuan re-eksport.

Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat tempatan terlibat membuat pengisytiharan palsu menerusi borang K1 bagi dagangan tersebut.

Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dan kes diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut.

AKPS turut memaklumkan akan terus mempergiat pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang.

Langkah itu selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa 1 April lalu melalui pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026.

Sehubungan itu, AKPS menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara terus terpelihara.