Op Bersepadu Khazanah: Lelaki 56 tahun dicekup dulang emas tanpa lesen

Peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti mendulang emas tanpa lesen/RTM

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Seorang lelaki tempatan ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah hasil operasi intra dan inter agensi melibatkan Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelbagai peralatan mendulang dirampas termasuk dulang, palong, tukul, baldi berisi bahan disyaki emas, dua telefon; nilai rampasan dianggarkan RM4,230.
  • Suspek dipercayai menjalankan aktiviti kecil-kecilan sejak 3 Mei selepas dibebaskan dari penjara.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 156 Enakmen Mineral Negeri 2001; sampel tanah dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains untuk analisis.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 3 pagi di kawasan kuari Mentari Muhibbah Sdn. Bhd. di Kechau Tui, Mukim Telang, susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti mendulang emas secara haram.

Menurut Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, seorang lelaki berusia 56 tahun berjaya ditahan di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan di kawasan kuari itu menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mendulang emas tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan.

Antara barangan yang dirampas termasuk dulang, karpet, palong kanvas, penyodok besi, tukul, baldi berisi bahan disyaki emas serta dua telefon bimbit, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,230.

Suspek dipercayai menjalankan aktiviti tersebut secara kecil-kecilan sejak 3 Mei lalu, selepas dibebaskan dari penjara.

Siasatan awal mendapati emas yang dikumpul masih belum dijual kerana jumlahnya kecil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 156 Enakmen Mineral Negeri 2001 kerana mendulang tanpa lesen.

Suspek dan semua rampasan telah diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut, termasuk proses sitaan serta penghantaran sampel tanah ke Jabatan Mineral dan Geosains bagi analisis.

Dalam pada itu, pihak berkuasa akan terus mempergiat rondaan dan operasi bersepadu bagi mengekang aktiviti penerokaan tanah secara haram di negeri itu.