
KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Seorang peniaga lelaki kerugian RM882,920 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’.
- Mangsa dihubungi pada 23 Mac oleh suspek menyamar sebagai wakil Etika Takaful.
- Panggilan disambungkan kepada rakan suspek menyamar sebagai polis; didakwa terlibat tuntutan palsu, penggubahan wang haram dan rasuah.
- Mangsa diarahkan membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan simpanan daripada Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan.
- Beberapa pindahan keluar ke akaun tidak dikenali antara 29 Mac dan 4 Mei dikesan; mangsa membuat laporan polis; kes disiasat di bawah Seksyen 420.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, pada 23 Mac lepas, mangsa yang berusia awal 50-an menerima panggilan telefon daripada suspek lelaki yang menyamar sebagai wakil Etika Takaful.
Suspek mendakwa nama mangsa telah digunakan untuk membuat tuntutan insurans kesihatan palsu di sebuah hospital, namun dakwaan tersebut dinafikan mangsa.
“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai polis, kononnya untuk tujuan laporan secara dalam talian.
“Selain tuntutan insurans kesihatan palsu, mangsa juga kononnya didakwa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram dan rasuah.
“Bagi menyelesaikan kes itu, mangsa diarahkan supaya membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang telah memindahkan semua wang simpanan daripada akaun Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan ke dalam dua akaun bank baharu itu.
Selain itu, suspek juga mengarahkan mangsa supaya tidak menggunakan wang atau membuat apa-apa transaksi daripada akaun bank berkenaan sehingga tempoh siasatan selesai.
“Bagaimanapun, mangsa berasa curiga kerana selepas memindahkan kesemua wang simpanan yang ada, suspek masih mendesak agar beliau terus membuat pindahan wang ke dua akaun bank baharu itu.
“Mangsa kemudiannya bertindak membuat semakan baki dan mendapati terdapat beberapa kali pindahan wang keluar daripada dua akaun berkenaan kepada akaun tidak dikenali antara 29 Mac hingga 4 Mei lepas,” katanya.
Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis pada 12.36 tengah hari semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.