Peruntukan pertahanan ditambah dalam Belanjawan 2027

Perdana Menteri menyantuni warga Kem Terendak dalam Program Semarak Kenegaraan di Melaka hari ini/Foto PMO

MELAKA, 7 Ogos – Peruntukan bagi sektor pertahanan dijangka terus dipertingkat dalam pembentangan Belanjawan 2027, Oktober depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar akan tambah peruntukan pertahanan dalam Belanjawan 2027 mengikut kemampuan
  • Peruntukan Kementerian Pertahanan meningkat lebih 35 peratus dalam tiga tahun lalu, memperkukuh keupayaan pertahanan negara
  • Kebajikan anggota dipertingkat melalui penyelarasan gaji, elaun serta kerja baik pulih dan penyelenggaraan perumahan
  • Tadbir urus diperkuatkan dengan perolehan aset pertahanan yang dilaksanakan secara telus dan berintegriti

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Insya-Allah, jika keadaan mengizinkan, dalam pembentangan Belanjawan pada bulan Oktober nanti, saya akan menambah peruntukan sekadar yang termampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Terendak, di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh tiga tahun lalu, peruntukan kepada Kementerian Pertahanan telah ditingkatkan lebih 35 peratus berbanding sebelumnya, antara lain bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

Jelas beliau, peningkatan itu turut membolehkan kebajikan anggota dipertingkat menerusi penyelarasan gaji dan elaun, selain kerja membaik pulih serta penyelenggaraan perumahan.

“Perbelanjaan untuk menjaga kebajikan anggota kita adalah yang tertinggi dalam sejarah. Gaji, elaun dan peruntukan membaik pulih perumahan juga antara yang tertinggi dalam sejarah,” katanya lagi.

Menurut beliau, usaha memperkukuh sektor pertahanan turut disokong tadbir urus yang lebih baik.

Langkah itu termasuk memastikan proses perolehan aset pertahanan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.