
PETALING JAYA, 7 Ogos – Tiga anak Allahyarham Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 34, yang maut selepas kenderaan dinaikinya dihempap pokok tumbang di Jalan Janda Baik, Bentong pada 3 Ogos lalu, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO.
- Setiap anak menerima RM178.20 sebulan, jumlah keseluruhan RM534.60 sebulan.
- Bayaran faedah diberikan sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
- Anak sulung menerima Faedah Pengurusan Mayat sekali bayar sebanyak RM3,000.
- Pindaan Akta 4 berkuat kuasa 1 Jun 2026 meluaskan perlindungan PERKESO di luar waktu kerja dan semasa cuti.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin berkata, setiap anak akan menerima RM178.20 sebulan, menjadikan keseluruhan RM534.60 sebulan.
Tiga anak Allahyarham ialah Nur Damia Salsabila Mohammad Nizam, 11; Nur Alisha Salsabila Mohammad Nizam, 10; dan Muhammad Aqil Hazwan Mohammad Nizam, 7.
Menurutnya, faedah itu akan dibayar sehingga mereka berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
Anak sulung Allahyarham turut menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
“Hasil siasatan Skuad Prihatin PERKESO mendapati Allahyarham adalah pencarum. Selepas pindaan Akta 4 berkuat kuasa pada 1 Jun 2026, perlindungan diperluaskan bukan sahaja ketika waktu bekerja, malah di luar waktu kerja dan ketika cuti.
“Ini melayakkan Allahyarham menerima faedah berkenaan untuk manfaat orang tanggungannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ziarah Prihatin bersama Skuad PERKESO Prihatin di kediaman anak Allahyarham di Damansara Damai.
Azirruan berkata, manfaat berkenaan menunjukkan caruman pekerja mampu menjadi jaringan keselamatan kepada keluarga sekiranya berlaku musibah, termasuk di luar waktu dan tempat kerja.
Katanya, PERKESO turut membantu memudah cara urusan tuntutan bagi memastikan keluarga yang berdepan kehilangan tidak terbeban dengan proses berkenaan.
Sementara itu, bekas isteri Allahyarham, Nur Amalina Abd Rahaman, 32, berkata bantuan berkenaan dapat meringankan perbelanjaan harian dan persekolahan tiga anak mereka.
“Sebelum ini arwah memberikan kira-kira RM500 setiap bulan untuk keperluan tiga anak. Jadi, bantuan ini memang sangat membantu saya menguruskan keperluan harian mereka,” katanya.
Nur Amalina berkata, kehilangan Allahyarham turut memberi kesan kepada anak-anak yang masih cuba memahami pemergian bapa mereka.
Beliau turut berharap aspek keselamatan terus diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian pokok tumbang yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya daripada berulang.
Terdahulu, empat individu maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Janda Baik, Bentong pada 3 Ogos lalu.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Rizz Haziq, cedera dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.