
KRUBONG, 7 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalin kerjasama dengan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) menerusi Jabatan Landskap Negara (JLN) bagi membangunkan inisiatif My Public Space.
- Menetapkan kerangka pengiktirafan nasional sejajar Anugerah Rosa Sinensis bagi mengiktiraf amalan pengurusan ruang awam terbaik.
- Melaksanakan projek rintis My Public Space Toolkit untuk panduan praktikal pengurusan, pemuliharaan dan rekabentuk ruang awam.
- Memperkasa amalan pengurusan ruang awam melalui standard, latihan dan penglibatan komuniti.
- Mengarusperdankan toolkit dalam garis panduan dan dasar pembangunan landskap sebagai piawaian nasional untuk bandar mampan, inklusif dan berdaya huni.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerjasama itu bertujuan memperkasa pengurusan ruang awam negara berasaskan amalan terbaik di peringkat antarabangsa dengan tumpuan kepada empat fokus utama.
Pendekatan berkenaan akan disesuaikan dengan keperluan serta aspirasi pembangunan bandar di Malaysia.
“Empat fokus utama itu meliputi pembangunan kerangka pengiktirafan nasional yang sejajar dengan Anugerah Rosa Sinensis, pelaksanaan projek rintis My Public Space Toolkit, pemerkasaan amalan pengurusan ruang awam, serta pengarusperdanaan toolkit ini dalam garis panduan dan dasar pembangunan landskap negara sebagai standard nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 di Stadium Hang Jebat Krubong, di sini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerjasama strategik itu bakal membuka lembaran baharu dalam melonjakkan standard ruang awam negara ke peringkat global, sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai peneraju pembangunan bandar mampan, inklusif, dan berdaya huni.