Kes pukul isteri hamil: Peniaga mengaku tidak bersalah

Rosmaini didakwa pukul isteri menggunakan kerusi plastik, getah paip dan penyangkut besi

SUNGAI PETANI, 7 Mei – Seorang peniaga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh, Rosmaini Abd Raof, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan isteri.
  • Dakwaan pertama: isteri cedera akibat dipukul menggunakan kerusi plastik dan getah paip pada 29 Mac.
  • Dakwaan kedua: kecederaan parah akibat penyangkut baju dan besi penyangkut langsir pada 23 April.
  • Permohonan jaminan ditolak kerana tertuduh banduan di Penjara Kajang; sebutan semula ditetapkan 16 Jun untuk serahan dokumen.

Tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 43 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, Nurfitri Moktar, 39 tahun menggunakan kerusi plastik dan getah paip dalam kejadian pada 29 Mac lalu kira-kira pukul 5 petang di kediaman mereka di persiaran Amanjaya di Bandar Amanjaya di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa sekali lagi menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa menggunakan penyangkut baju dan besi penyangkut langsir dalam kejadian pada 23 April lalu kira-kira pukul 9 pagi di lokasi sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana kesalahan dilakukan terhadap pasangan.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, manakala bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan, hukuman penjara boleh ditingkatkan sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang diperuntukkan kerana kesalahan dilakukan terhadap pasangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Peguam tertuduh dalam rayuannya meminta budi bicara mahkamah bagi membenarkan jaminan diberikan kepada anak guamnya yang mempunyai dua isteri dan menyara 11 orang anak dengan tujuh daripadanya masih bersekolah.

Bagaimanapun, Datuk Khairul memaklumkan kepada mahkamah bahawa walaupun kes berkenaan boleh dijamin, proses itu tidak boleh dilakukan berikutan status tertuduh sebagai banduan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Mahkamah menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan dokumen.