
SUBANG JAYA, 7 Ogos – Pemenang pingat emas Sukan SEA 2025, Fang Ze Zeng kini mengalihkan fokus kepada usaha memburu tiket ke Kejohanan Luncur Ais Dunia 2027.
- Perlu mengumpul markah teknikal minimum melalui beberapa kejohanan tahun ini.
- Telah menguasai triple Axel dan berusaha memastikan lompatan itu konsisten dalam pertandingan.
- Skate Asia 2026 dan peningkatan kemudahan gelanggang ais membina platform pembangunan, tarik atlet antarabangsa dan peluang untuk atlet muda.
Fang berkata, beliau perlu mengumpul markah teknikal minimum yang ditetapkan sebelum layak beraksi di pentas dunia, sekali gus menjadikan setiap kejohanan yang disertainya tahun ini penting bagi merealisasikan sasaran berkenaan.
“Sasaran utama saya selepas ini adalah untuk layak ke Kejohanan Dunia 2027.
“Tahun ini saya akan menyertai beberapa kejohanan bagi mengumpul markah teknikal minimum yang diperlukan untuk melayakkan diri,” katanya ketika ditemui RTM.
Pemenang pingat emas Kejohanan Luncur Ais Terbuka Thailand 2026 itu berkata, beliau kini berjaya menguasai elemen triple Axel ketika sesi latihan dan sedang berusaha memastikan lompatan berkenaan dapat dilakukan secara konsisten dalam pertandingan.
Mengulas penganjuran Skate Asia 2026, Fang menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting dalam pembangunan sukan luncur ais negara, selain berjaya menarik penyertaan atlet antarabangsa untuk berlatih dan beraksi di Malaysia.
Menurut atlet berusia 22 tahun itu, perkembangan kemudahan gelanggang ais tempatan turut membuka lebih banyak peluang kepada atlet muda untuk mengasah bakat serta meningkatkan prestasi sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Mengimbas perjalanan kariernya sejak mula menceburi sukan luncur ais pada usia lapan tahun, Fang berkata kejayaan yang diraihnya hari ini merupakan hasil dedikasi, latihan secara konsisten dan kesungguhan untuk terus memperbaiki setiap aspek persembahannya.