
KOTA KINABALU, 5 Mei- Peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ke Sabah, Sarawak dan Labuan dilihat mampu meringankan kos operasi sektor pengangkutan darat, sekali gus membantu menstabilkan harga barangan khususnya di kawasan luar bandar, menurut pakar.
- Manfaat besar kepada PKS yang menggunakan teksi dan bas mini untuk penghantaran, menjimatkan kos berbanding lori atau treler.
- Penetapan harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter langkah bersasar kerajaan membantu golongan memerlukan walaupun tekanan harga global.
- Fleet card meningkatkan ketelusan, mengurangkan ketirisan subsidi, membolehkan pemantauan penggunaan dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga barangan.
Felo Penyelidik Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Izaan Azyan Abdul Jamil berkata langkah itu memberi manfaat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan seperti teksi dan bas mini bagi penghantaran barangan ke kawasan pedalaman.
Menurut beliau, pendekatan itu lebih menjimatkan berbanding penggunaan lori atau treler yang menelan kos lebih tinggi, selain membantu pengusaha mengawal kos operasi tanpa membebankan pengguna.
“Kita tahu bahawa pengusaha PKS dan syarikat kecil ini sebenarnya menggunakan perkhidmatan seperti teksi dan bas mini untuk menghantar barangan ke kawasan luar bandar, contohnya ke Ranau, Tawau, Sandakan dan sebagainya, khususnya mereka yang beroperasi di Kota Kinabalu,” katanya kepada RTM di sini.
Beliau berkata penetapan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter merupakan langkah bersasar kerajaan dalam membantu golongan memerlukan, meskipun berdepan tekanan harga pasaran global.
Dalam pada itu, pelaksanaan sistem ‘fleet card’ turut disifatkan sebagai langkah penting dalam meningkatkan ketelusan dan mengurangkan ketirisan subsidi diesel.
Menurut beliau, sistem berkenaan membolehkan setiap penggunaan direkod dan dipantau berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan terutama di kawasan sempadan.
“Setiap penggunaan ‘fleet card’ ini akan direkod dan penyata akan dihantar kepada pengusaha pada hujung bulan,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan pelaksanaan SKDS dan penggunaan ‘fleet card’ dijangka memberi impak positif kepada sektor logistik serta melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga barangan.