Pindaan Akta MARA sedia dibentang dalam tempoh tiga minggu – TPM Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu, lebih awal daripada jangka masa yang ditetapkan sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan memperkemas kerangka undang-undang MARA agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
  • Pindaan mengembangkan skop MARA daripada hanya bantu luar bandar kepada juga penduduk bandar dan rakyat di luar negara.
  • Rangka pindaan disusun untuk memastikan MARA kekal relevan dalam tempoh 40 hingga 100 tahun.
  • Tatakelola diperkukuh untuk ketelusan dan mengelakkan manipulasi; MARA diharap mampu menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada peruntukan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha tersebut mencerminkan kesiapsiagaan kerajaan dalam memperkemas kerangka undang-undang MARA agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Beliau berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap MARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), penambahbaikan akta berkenaan penting bagi memastikan institusi itu kekal berdaya saing dalam jangka panjang.

“Dalam pindaan baharu ini, MARA bukan sahaja menyantuni golongan bumiputera luar bandar, malah penduduk bandar dan juga mereka yang berada di luar negara turut dapat disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kami Gen MARA di sini hari ini yang menghimpunkan alumni, usahawan dan warga MARA daripada pelbagai latar belakang.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pindaan baharu itu juga dirangka sebagai persediaan jangka panjang bagi memastikan MARA kekal relevan dalam tempoh 40 hingga 100 tahun akan datang, selaras perubahan dan pemodenan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek tatakelola akan diperkukuh bagi memastikan pengurusan MARA lebih telus serta tidak terdedah kepada sebarang manipulasi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan harapan agar MARA mampu menjana pendapatan sendiri pada masa depan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.