GPPPKMM sambut baik langkah kerajaan turunkan kadar sewa premis

Datuk Seri Rosli Sulaiman / RTM

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Inisiatif kerajaan menurunkan kadar sewaan premis perniagaan milik semua agensi kerajaan disambut baik oleh Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (GPPPKMM) yang menyifatkannya sebagai meringankan beban peniaga kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rosli mohon kadar sewa PBT diturunkan sehingga 50 peratus bagi meringankan beban peniaga kecil, termasuk pengguna MyKiosk yang berhutang.
  • Perdana Menteri arahkan kadar sewa premis agensi Persekutuan diturunkan mulai bulan ini dan seru PBT ambil pendekatan sama.
  • Rosli sokong pengukuhan Program Jualan Rahmah MADANI dan Jelajah MADANI untuk tingkatkan jualan peniaga serta harga lebih berpatutan.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata langkah itu diharap dapat mengelakkan peniaga kecil terus terbeban dengan tunggakan bayaran sewa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata terdapat peniaga yang masih berdepan kesukaran membayar sewa premis termasuk dalam kalangan pengguna fasiliti seperti MyKiosk yang disediakan kerajaan.

“Saya dimaklumkan ramai peniaga hari ini terhutang kepada PBT dan tidak mampu membayar sewa. Contohnya MyKiosk yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), ada sebahagiannya tidak mampu membayar.

“Kita mohon supaya kerajaan memberi pertimbangan agar kadar sewa premis yang ditetapkan PBT juga dapat diturunkan sehingga 50 peratus,” katanya kepada RTM hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.

Langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

Perdana Menteri juga menyeru agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama mulai bulan ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Rosli turut menyokong saranan Perdana Menteri untuk memperhebat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI serta memperluas penglibatan peniaga kecil dalam program berkenaan.

Menurut beliau, pelaksanaan program seperti Jelajah MADANI bukan sahaja membantu peniaga menjual produk, malah memberi manfaat kepada rakyat melalui penawaran harga barangan yang lebih berpatutan.