Pusat Autisme pertama MAIWP mula beroperasi 1 Oktober

Pusat autisme ini menggabungkan intervensi bukan sahaja dari aspek kurikulum pendidikan malah keagamaan dan kerohanian. / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 September – Pusat Autisme pertama kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mula beroperasi secara rasmi pada 1 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyediakan sokongan pendidikan, terapi dan latihan kepada kanak-kanak autistik serta keluarga mereka.
  • Intervensi merangkumi kurikulum pendidikan, keagamaan dan kerohanian; kemudahan termasuk kedai gunting rambut, ruang bermain dan laman terapi.
  • Projek hasil kerjasama MAIWP dengan PANDAI dibiayai zakat RM450,000, diperuntukkan untuk pembangunan fizikal dan pelaksanaan program.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pusat tersebut menyediakan sokongan pendidikan dan terapi kepada kanak-kanak autistik serta keluarga mereka.

“Pusat autisme ini menggabungkan intervensi bukan sahaja dari aspek kurikulum pendidikan malah keagamaan dan kerohanian.

“Kita juga ada beberapa tempat untuk menjalankan aktiviti termasuk kedai gunting rambut, ruang santai untuk anak-anak bermain dan insya-Allah kita akan bangunkan laman terapi untuk anak-anak autistik di sini,” katanya pada majlis perasmian pusat berkenaan, di sini.

Setakat ini, seramai 65 kanak-kanak autistik telah mendaftar, mencerminkan permintaan terhadap kemudahan intervensi dan sokongan khusus untuk golongan berkenaan.

Selain pendidikan dan terapi, pusat itu turut menyediakan latihan kepada ibu bapa bagi membantu mereka memahami keperluan serta perkembangan anak-anak autistik.

Pusat tersebut dibangunkan menerusi kerjasama MAIWP dengan Pertubuhan Amal dan Dakwah Anak Istimewa (PANDAI) melibatkan sokongan dana zakat berjumlah RM450,000.

Daripada jumlah itu, RM398,500 diperuntukkan bagi pembangunan fizikal, manakala RM51,500 digunakan untuk pelaksanaan program berkaitan.

Sehingga 21 Ogos lalu, MAIWP telah mengagihkan lebih RM832 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan, selain melaksanakan program pembangunan asnaf dan institusi pendidikan kendaliannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.