Harga RON97, RON95 tanpa subsidi naik 20 sen, diesel 15 sen

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 September – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter bagi tempoh 24 hingga 30 September, susulan kekangan bekalan produk petroleum bertapis di pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM5.05 dan RM4.57 seliter.
  • Harga diesel tanpa subsidi ditetapkan RM5.42 seliter.
  • Harga BUDI MADANI kekal; BUDI95 RM1.99 seliter subsidi RM2.58, BUDI Diesel RM2.10 seliter subsidi RM3.32.
  • MOF jamin bekalan mencukupi tetapi seru pengguna berjimat; gangguan pengeluaran dan eksport Asia Barat yang merosot menambah tekanan bekalan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga RON97 ditetapkan pada RM5.05 seliter berbanding RM4.85 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.57 daripada RM4.37 seliter.

Harga diesel tanpa subsidi pula naik 15 sen seliter kepada RM5.42 seliter berbanding RM5.27 sebelum ini.

Menurut MOF, harga bersubsidi bagi pengguna yang layak kekal tidak berubah menerusi inisiatif BUDI MADANI.

“Penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.57 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.58 bagi setiap liter.

“Bagi BUDI Diesel pula, harga kekal RM2.10 seliter berbanding RM5.42 tanpa subsidi, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.32 seliter,” menurut kementerian tersebut.

MOF turut memberi jaminan bekalan bahan api negara kekal mencukupi ketika ini, namun menyeru orang ramai menggunakannya secara berhemat dan merancang perjalanan dengan lebih cekap.

“Kekangan bekalan produk petroleum bertapis terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi, termasuk akibat gangguan pengeluaran di Rusia.

“Eksport diesel dari Asia Barat juga dilaporkan merosot lebih 50 peratus antara Mac hingga Ogos tahun ini, sekali gus menambah tekanan terhadap bekalan global,” jelas kementerian itu lagi.

Menurut MOF, pemulihan kapasiti penapisan global serta aliran petroleum melalui Selat Hormuz penting bagi membantu meredakan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.

Ketidaktentuan geopolitik pula dijangka terus mempengaruhi turun naik harga dalam jangka sederhana, selain meningkatkan kos penghantaran minyak.

Kadar sewaan kapal tangki super bagi beberapa laluan dari Asia Barat dilaporkan mencecah sekitar AS$1 juta sehari susulan gangguan perkapalan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.