Pindaan AUKU libatkan 44 seksyen

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 September – Cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melibatkan 44 seksyen kini di peringkat akhir sebelum dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh seksyen melibatkan hal ehwal mahasiswa, manakala selebihnya berkaitan penubuhan, tadbir urus universiti serta aspek akademik dan ekosistem pendidikan tinggi.
  • RUU pengganti AUKU disusun bukan hanya mengenai kebebasan mahasiswa tetapi juga struktur pentadbiran, tadbir urus universiti dan aspek akademik menyeluruh.
  • Bacaan pertama Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang, sama ada pada Oktober atau Disember 2026.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata daripada jumlah itu, tujuh seksyen melibatkan hal ehwal mahasiswa, manakala selebihnya berkaitan penubuhan dan tadbir urus universiti, aspek akademik serta perkara berkaitan ekosistem pendidikan tinggi.

“Apabila kita bercakap tentang AUKU yang hendak dipinda, ia melibatkan 44 seksyen, yang mana tujuh seksyen melibatkan mahasiswa.

“Manakala selebihnya melibatkan penubuhan universiti, tadbir urus universiti, aspek akademik dan lain-lain,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya penggubalan RUU untuk menggantikan AUKU bukan sekadar tertumpu kepada isu kebebasan mahasiswa, sebaliknya merangkumi struktur pentadbiran, tadbir urus universiti serta aspek akademik secara menyeluruh.

Menurut beliau, bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, sama ada pada Oktober atau Disember 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Zambry berkata penganjuran sulung URIIS 2026 berjaya menghasilkan Memorandum Persetujuan (MoA) bernilai RM25 juta menerusi sesi pembentangan antara universiti dan pemain industri.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan potensi besar hasil penyelidikan universiti untuk dikembangkan kepada produk dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada ekonomi serta masyarakat.

“Walaupun ia masih baharu tetapi pada kali ini telah ada MoA yang telah ditandatangani dan hasil daripada produk yang dicipta itu sebanyak RM25 juta. Walaupun mungkin nilainya masih kecil, namun ia menunjukkan potensi yang besar,” katanya.

URIIS 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 September menghimpunkan 20 universiti awam dan swasta, selain peneraju industri serta pelabur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.