Persahabatan Malaysia-China melangkaui hubungan diplomatik – PM

Foto Pejabat Perdana Menteri

HANGZHOU, 23 September – Hubungan Malaysia-China bukan sekadar berkisar kepada diplomasi, perdagangan dan pelaburan, sebaliknya turut dibentuk menerusi hubungan peribadi, kepercayaan serta perkongsian nilai antara pemimpin kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran edisi Bahasa Mandarin bukunya "Rethinking Ourselves" yang bukan autobiografi, tetapi himpunan pemikiran dan pengalaman pertukaran idea.
  • Hubungan Malaysia-China berasas sejarah dan budaya panjang, berkongsi pengalaman menentang kolonialisme dan imperialisme.
  • Anwar memuji sikap rendah hati pemimpin China dan sokongan Perdana Menteri Li Qiang terhadap karya beliau.

Menurut beliau, keunikan hubungan itu membolehkan persahabatan antara pemimpin berkembang kepada hubungan antara rakan yang saling mempercayai.

“Persahabatan kita dengan pemimpin bukan hanya isu politik, diplomatik, bukan hanya perdagangan, pelaburan, walaupun ia penting, dan keselamatan.

“Keunikan persahabatan kita dengan pemimpin boleh berkembang kepada hubungan peribadi antara rakan yang dipercayai,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Global Edisi Bahasa Mandarin karya beliau, ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times’, di sini, malam ini.

Datuk Seri Anwar berkata hubungan Malaysia-China mempunyai asas sejarah dan budaya yang panjang, selain pengalaman bersama berdepan kolonialisme dan imperialisme.

Interaksi antara budaya dan tamadun berbeza membolehkan masyarakat mengenal pasti persamaan dalam nilai kemanusiaan, kebenaran, keadilan dan kesaksamaan.

Perdana Menteri turut menyifatkan sifat rendah hati pemimpin China sebagai antara perkara yang menarik perhatiannya dalam hubungan kedua-dua negara.

“China sebuah negara besar, sebuah negara utama dari segi ekonomi dan kekuatan ketenteraan, tetapi apabila kita datang, mereka melayan kita sebagai kawan, sebagai rakan yang setara.

“Saya sangat tersentuh bahawa Perdana Menteri Li Qiang sendiri memberikan sokongan kepada karya ini,” katanya.

Mengulas mengenai karya berkenaan, Datuk Seri Anwar berkata ‘Rethinking Ourselves’ bukan autobiografi, sebaliknya menghimpunkan pemikiran, bahan bacaan serta pengalaman pertukaran idea yang membentuk pandangannya terhadap dunia.

Katanya, buku itu antara lain menyentuh kesan kolonialisme dan imperialisme, identiti serta hala tuju negara-negara membangun.

Edisi bahasa Mandarin karya tersebut diterjemahkan oleh Presiden Pengasas Yayasan Antarabangsa Silk Road, Dr Yan Lijin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.