
KUALA LUMPUR, 23 September – Program C-WAVE: Joy Resonance of Nanyang merupakan platform yang mampu memperkukuh hubungan Malaysia-China menerusi diplomasi budaya, khususnya melalui muzik sebagai medium merentasi perbezaan bahasa dan budaya.
- Diplomasi budaya mengukuh hubungan Malaysia-China selain kerjasama ekonomi dan politik.
- Kepelbagaian budaya Malaysia menjadikan negara sesuai untuk program pertukaran budaya.
- Pendedahan kepada budaya asing meningkatkan keterbukaan dan kefahaman antara masyarakat.
- Program ini menjadikan muzik jambatan, membuka peluang artis dan menghubungkan China, Malaysia serta komuniti Cina global.
Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi berkata, hubungan antara Malaysia dengan China bukan hanya diterjemahkan menerusi kerjasama ekonomi dan politik, malah turut diperkukuh melalui diplomasi budaya.
“Saya melihat program seperti ini sangat signifikan dalam merapatkan hubungan antara kedua-dua negara dan muzik merupakan salah satu medium yang berkesan untuk merapatkan hubungan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program berkenaan, di sini.
Menurut beliau, kepelbagaian budaya yang dimiliki Malaysia turut menjadikan negara ini lokasi sesuai untuk penganjuran program pertukaran budaya seperti itu.
“Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya yang sangat menonjol. Kita sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada Melayu, Cina, India serta masyarakat di Sabah dan Sarawak, hidup dalam keadaan harmoni.
“Jadi, Malaysia merupakan tempat yang sangat sesuai untuk program pertukaran budaya seperti ini antara Malaysia dengan China,” katanya.
Beliau juga berkata, pendedahan kepada budaya asing dapat membantu masyarakat menjadi lebih terbuka serta meningkatkan kefahaman antara satu sama lain.
“Pertukaran budaya membolehkan kedua-dua negara memahami antara satu sama lain. Apabila kita mendapat pendedahan mengenai budaya asing, kita akan lebih terbuka dan lebih memahami antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Antarabangsa Radio dan Televisyen Guangdong, Zheng Yuanjun berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi penganjuran program berkenaan kerana kedudukan negara sebagai hab budaya utama Asia Tenggara, selain mempunyai budaya masyarakat Cina yang berakar kukuh.
“Pemilihan Malaysia amat bertepatan dengan usaha memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat di Asia Pasifik.
“Kami berharap muzik dapat menjadi jambatan yang menghubungkan China, Malaysia dan komuniti Cina di seluruh dunia,” katanya yang turut ditemui pemberita pada program berkenaan.
Beliau berharap penganjuran program itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada artis dari pelbagai negara untuk berkongsi budaya dan bekerjasama menerusi muzik.
Program C-WAVE: Joy Resonance of Nanyang diperkenalkan bersempena Tahun China APEC 2026 sebagai platform pertukaran budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat menerusi muzik.