
HANGZHOU, 23 September – Syarikat gergasi industri China, AgiBot Innovation menyatakan komitmen potensi pelaburan bernilai RM1 bilion di Malaysia menjelang tahun 2035, yang dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
- ZTE umum inisiatif dan pelaburan RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia dan sediakan peluang kerjaya berkualiti.
- Perbincangan fokus pada sektor berimpak tinggi: robotik humanoid, infrastruktur digital, kecerdasan buatan, teknologi EV dan e-dagang.
- Alibaba bincang usaha luaskan akses pasaran bagi produk PMKS dan industri halal ke China serta pasaran global melalui ekosistem digitalnya.
- Perdana Menteri jamin Kerajaan MADANI komited tarik pelaburan berkualiti, perkasa bakat tempatan dan jana peluang pekerjaan berkemahiran.
Komitmen itu dinyatakan dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pengurusan kanan syarikat berkenaan, di sini, pada Rabu.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri memaklumkan sebuah lagi syarikat, iaitu ZTE Corporation turut menggariskan inisiatif serta pelaburan bernilai RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kerjaya berkualiti buat anak-anak tempatan.
Tiga lagi syarikat yang turut serta dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar ialah Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Technologies.
“Perbincangan kami berkisar seputar hal meneroka secara mendalam tentang keupayaan pelaburan baharu serta kerjasama strategik dalam sektor berdampak tinggi meliputi sektor robotik humanoid, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi EV, serta e-dagang,” katanya.
Dalam perbincangan bersama Alibaba Group, Perdana Menteri berkata, usaha memperluas akses pasaran bagi produk Malaysia khususnya keluaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan industri halal negara ke pasaran China serta global menerusi ekosistem digital Alibaba, turut disentuh.
“Kerajaan MADANI kekal komited dalam merintis dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkasa keupayaan bakat tempatan, serta menjana peluang pekerjaan berkemahiran demi memacu kemakmuran ekonomi rakyat dan tanah air,” kata Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan.