Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di New York, hadiri UNGA ke-81

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan setibanya di hotel penginapannya di New York/ BERNAMA

NEW YORK, 24 September – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selamat tiba di New York, Amerika Syarikat untuk lawatan kerja lima hari dari 23 hingga 27 September.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memimpin delegasi Malaysia ke UNGA ke-81 dan dijadual menyampaikan kenyataan negara pada sesi perbahasan umum.
  • Menekankan usaha memperkukuh multilateralisme, menegakkan undang-undang antarabangsa, isu Palestin, ketegangan Asia Barat serta reformasi PBB dan Majlis Keselamatan.
  • Mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dan pemimpin utama; kali ketiga beliau mengetuai delegasi sejak Disember 2023.

Beliau diiringi isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 dan dijadualkan menyampaikan kenyataan negara pada sesi perbahasan umum pada Sabtu, 26 September sekitar pukul 4.30 petang waktu tempatan.

Beliau dijangka menyampaikan pendirian Malaysia dalam beberapa isu berkepentingan termasuk usaha memperkukuh multilateralisme dan menegakkan undang-undang antarabangsa, selain isu Palestin dan ketegangan di Asia Barat.

Juga bakal dibangkitkan, reformasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan, selain isu jurang pembangunan, agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan inisiatif
UN80.

Turut dijadual berlangsung, pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dan pemimpin utama termasuk dari Nepal, Iran, Kuwait, Ghana, Bosnia Herzegovina dan Algeria.

Sesi ke-81 yang bertemakan “Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations That Delivers for All” , memberi tumpuan kepada usaha membina semula keyakinan terhadap kerjasama global dalam mendepani perubahan besar geopolitik, teknologi, ekonomi dan alam sekitar. Debat Umum berlangsung dari 22 hingga 28 September.

Ini merupakan kali ketiga Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA sejak memegang portfolio Menteri Luar pada Disember 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.