
DUNGUN, 24 September – Lebih 500 penduduk di Kampung Pasir Raja di sini bimbang dengan kemunculan seekor gajah liar berkeliaran berhampiran kawasan kediaman mereka sejak seminggu lalu.
- Gajah merosakkan tanaman dan semakin menghampiri rumah, menyebabkan penduduk merasa tidak selamat dan terjejas kehidupan harian.
- Haiwan keluar dari hutan lebih kerap pada waktu malam dan awal pagi, memaksa penduduk mengurangkan pergerakan di luar rumah.
- Ketakutan tragedi 27 tahun lalu berulang, penduduk risau selepas kes lama melibatkan kematian.
- Perhilitan sedang membuat pemantauan, penduduk diminta tidak menghampiri dan segera membuat laporan jika melihat haiwan.
Haiwan liar itu bukan sahaja merosakkan tanaman, malah kini semakin menghampiri rumah penduduk hingga membuatkan mereka rasa tidak selamat dan selesa dalam menjalani kehidupan seharian.
Penduduk mendakwa gajah liar tersebut semakin kerap keluar dari hutan berhampiran dan masuk ke kawasan kampung terutama pada waktu malam dan awal pagi.
Mereka kini perlu lebih berwaspada dengan mengurangkan pergerakan dan aktiviti di luar rumah kerana bimbang terserempak dengan gajah berkenaan.

Salah seorang penduduk, Mok Selamah Ismail bimbang kejadian seorang penduduk maut diserang haiwan liar itu sejak 27 tahun lalu di kawasan rumahnya, akan berulang jika langkah segera tidak diambil untuk menanganinya.
“Saya takut sangat dengan gajah sebab benda bukan boleh buat kawan. Di sini (Kampung Pasir Raja) pernah berlaku tragedi menyayat hati, dua orang diserang haiwan itu hingga meninggal dunia,” jelasnya.
Manakala Ameliana Syakira Nazri yang menghuni di kawasan sama juga khuatir, rumahnya yang dikelilingi tumbuhan seperti buluh, pisang dan kelapa akan dimusnahkan haiwan terbabit.
“Kami sekeluarga takut, sebab di sini ada pelbagai jenis pokok termasuk jika kebarangkalian haiwan terbabit bertindak agresif hingga memusnahkan rumah kami,” katanya.
Kebimbangan sama turut diluahkan, Ismail Ali Muda Mat Darus yang setiap malam memikirkan mengenai keselamatan dirinya dan keluarga.
“Saya berharap tindakan segera dilakukan pihak berkaitan supaya haiwan liar itu dapat dihalau ke habitat asal demi keselamatan penduduk di sini,” tegasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi RTM berkata, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah kini sedang menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan.
“Penduduk diminta supaya tidak menghampiri atau mengganggu haiwan berkenaan, selain membuat laporan segera kepada pihak berkuasa jika melihat haiwan liar itu masuk ke kawasan kampung,” ujarnya.