i-COSTECH 2026 perkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa rentas sempadan

Foto UiTM Cawangan Perlis

ARAU, 24 September – Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis bersama Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia berjaya menganjurkan International Science and Technology Conference (i-COSTECH 2026) secara hibrid pada 23 dan 24 September.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh jaringan penyelidikan dan kerjasama akademik antarabangsa untuk memacu inovasi saintifik ke arah pembangunan mampan.
  • Menggabungkan penyertaan pelbagai institusi antarabangsa dan tempatan untuk perkongsian ilmu, ucaptama dan ceramah jemputan.
  • Menjadi platform pemangkin kepada penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti akademik dan pemindahan teknologi antarabangsa.

Persidangan bertemakan ‘Science Beyond Borders: Connecting Technology for a Sustainable Future’ itu bermatlamat memperkukuh jaringan penyelidikan, kerjasama akademik serta memacu inovasi dalam bidang sains dan teknologi ke arah pembangunan mampan di peringkat global.

Kenyataan dikeluarkan memaklumkan, persidangan selama dua hari ini menghimpunkan seramai 176 peserta melibatkan 154 peserta secara dalam talian dan 22 peserta secara fizikal, terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar pascasiswazah serta profesional pelbagai sektor.

“Pengisian i-COSTECH 2026 turut diperkaya dengan sesi ucaptama dan ceramah jemputan daripada institusi ternama antarabangsa.

“Antara yang terlibat termasuk Universitas Islam Riau dan Universitas Airlangga (Indonesia), Yala Rajabhat University (Thailand), Tokyo University of Agriculture and Technology serta Shibaura Institute of Technology (Jepun), dan Hormuud University (Somalia),” jelasnya.

“Manakala penglibatan tempatan menyaksikan penyertaan penyelidik daripada UiTM, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan MILA University,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain platform perkongsian ilmu, i-COSTECH 2026 menjadi pemangkin kepada pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti akademik, pembangunan pelajar serta pemindahan teknologi antarabangsa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, dengan kehadiran Rektor UIR, Profesor Dr. Admiral, sekali gus membuktikan komitmen tinggi kepimpinan kedua-dua institusi dalam memacu agenda pengantarabangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.