
RANTAU PANJANG, 23 September – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 6,000 pokok bunga kertas dan anak pokok durian Musang King yang disyaki diseludup dari Thailand dalam satu operasi di Kampung Kubang Rambutan, di sini, tengah hari tadi.
- Rampasan dianggarkan bernilai RM760,000 termasuk sebuah lori.
- Pemeriksaan menemui 2,000 pokok bunga kertas dan 4,000 anak pokok durian Musang King.
- Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan selepas pemeriksaan lori; gagal kemukakan dokumen.
- Suspek mengaku aktif dua tahun, bekerja sebagai pemandu kepada seorang warga Thailand, menerima RM100 setiap penghantaran.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM760,000, termasuk sebuah lori.
Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun turut ditahan selepas lori dipandunya diperiksa anggota PGA.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan anggota Risik dan Task Force Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa ketika menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan 2,000 pokok bunga kertas dan 4,000 anak pokok durian Musang King.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan tumbuhan berkenaan sebelum ditahan bersama lori dan keseluruhan barang rampasan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Nilai rampasan membabitkan pokok bunga kertas dianggarkan RM60,000, manakala anak pokok durian Musang King bernilai kira-kira RM600,000.
Sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membawa tumbuhan berkenaan pula dianggarkan bernilai RM100,000.
Suspek bersama lori dan barang kes diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak dua tahun lalu.
Suspek turut mendakwa berperanan sebagai pemandu kepada seorang lelaki warga Thailand dan menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran anak pokok ke sebuah nurseri di Pasir Mas.