
PUTRAJAYA, 5 Mei – Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) perlu dikurangkan mulai bulan ini.
- Keputusan dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk membantu peniaga kecil yang terjejas oleh krisis bekalan global.
- Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diminta mengikuti langkah itu; DBKL sudah menurunkan kadar sewaan sebagai contoh.
- Perdana Menteri berterima kasih kepada MB Selangor Amirudin Shari atas sokongan; pengurangan sewa akan diumumkan mengikut daerah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bagi membantu peniaga kecil yang terkesan dengan krisis bekalan global ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengikuti langkah sama, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya fikir langkah yang pertama yang harus kita lakukan ialah mengurangkan kadar sewa.
“Banyak kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA Holdings Bhd (UDA) dan mulai bulan ini, mulai sekarang akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka.
“Ia akan diumumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat dan meneladani langkah DBKL yang sudah menurunkan kadar sewaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Harian Krisis Bekalan Global di sini hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari kerana telah menyambut inisiatif itu secara positif.
Malah dalam masa terdekat menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan bagi mengurangkan beban yang dihadapi penjaja ketika ini.