AIFA proses hampir 200,000 mesej sejak dilancarkan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Penutupan Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Aplikasi chatbot kecerdasan buatan, Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) berjaya memproses sebanyak 198,820 mesej sejak dilancarkan pada Januari 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • AIFA dapat mengesan dan menganalisis mesej dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
  • Pengguna digalakkan menyemak fakta dengan AIFA sebelum berkongsi, kerana jawapan memberi penjelasan dari sumber rasmi.
  • Aplikasi sebahagian usaha mendidik masyarakat lebih peka; Kementerian turut menyediakan platform semakan fakta lain seperti Biar Betul dan Sebenarnya.my.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, aplikasi yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu mampu mengesan serta menganalisis mesej dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Menurut beliau, orang ramai boleh menggunakan AIFA untuk membuat semakan fakta terhadap maklumat yang diterima sebelum disebarkan di media sosial.

“Bukan semua soalan boleh dijawab AIFA tetapi yang penting ialah apabila kita terima sesuatu informasi jangan cepat nak kongsi, buat semakan fakta terlebih dahulu.

“Ini merupakan hasrat kita untuk membangunkan AIFA kerana sekurang-kurangnya masyarakat tahu penjelasan yang mereka terima daripada AIFA adalah dari sumber rasmi, itu yang paling penting,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media di ibu negara, hari ini.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata aplikasi berkenaan penting dalam usaha berterusan mendidik masyarakat agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menilai maklumat.

Selain AIFA, Kementerian Komunikasi turut menyediakan platform semakan fakta lain seperti Biar Betul di RTM dan portal Sebenarnya.my.