AI bakal sumbang RM20 bilion setahun kepada KDNK menjelang 2030

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama yang membentuk ekonomi dan kehidupan rakyat di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI dijangka menyumbang RM13 bilion hingga RM20 bilion setahun kepada KDNK menjelang 2030.
  • Ekonomi digital diperkasakan AI menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK tahun lalu, nilai melebihi RM450 bilion.
  • Kerajaan menekankan tadbir urus kukuh, penubuhan Kementerian Digital dan rangka perundangan keselamatan siber serta perlindungan data.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata teknologi itu telah digunakan secara meluas merentas sektor termasuk kesihatan, pertanian, pendidikan dan pentadbiran.

Tambah beliau, AI dijangka menyumbang antara RM13 bilion hingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun menjelang 2030.

“Di peringkat nasional, ekonomi digital yang semakin diperkasakan oleh AI telah menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK Malaysia pada tahun lalu, dengan nilai ekonomi mencecah lebih RM450 bilion.”

“Ini bukan sekadar unjuran terpencil, sebaliknya ia memberi isyarat kepada peralihan struktur di mana AI tidak lagi bersifat sampingan dalam ekonomi, tetapi menjadi tunjang kepada produktiviti, daya saing, dan pertumbuhan negara.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Belia ke-5 (ICYOUTH 2026) di Marina Putrajaya.

Dalam masa sama, Datuk Wilson menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh bagi memastikan pembangunan sistem AI adalah telus dan boleh dipercayai.

Bagi menyokong ekosistem tersebut, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik termasuk penubuhan Kementerian Digital serta pelaksanaan rangka kerja perundangan berkaitan keselamatan siber dan perlindungan data.

Persidangan itu turut mengangkat peranan generasi muda sebagai penggerak utama dalam memacu pembangunan dan inovasi AI di peringkat nasional.