
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Pertanian Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menerima RM56,200 daripada dua pengarah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di jabatan itu, tiga tahun lepas.
- Mohamad Nizam Malik, 48, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian Putrajaya.
- Didakwa menerima RM25,700 melalui pindahan dalam talian daripada Pengerusi KOSHAH dan RM30,500 melalui perantara daripada Pengarah Orchidmas.
- Tindakan didakwa berlaku antara 8 Jun 2023 dan 5 Mac 2025 di bank Shaftsbury Putrajaya Avenue dan Presint 14.
- Mahkamah benarkan jaminan RM13,000; syarat termasuk laporan bulanan ke SPRM dan larangan mengganggu saksi; sebutan semula 8 Jun.
Mohamad Nizam Malik, 48, sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Penolong Pengarah yang bertugas sebagai Pegawai Pertanian, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian Putrajaya didakwa atas dua pertuduhan menerima barang berharga tanpa balasan untuk dirinya sendiri, iaitu wang berjumlah RM25,700 daripada Pengerusi Koperasi Usahawan Alam Shah Berhad (KOSHAH), Zainal Md Nadzri melalui pindahan dalam talian.
Dia juga didakwa atas sembilan lagi pertuduhan menerima barang berharga tanpa balasan untuk dirinya sendiri, iaitu wang berjumlah RM30,500 daripada Pengarah Syarikat Orchidmas Sdn Bhd, Shiz Mohammad Mohd Kassim melalui seorang individu, yang tertuduh ketahui kedua-dua individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Shaftsbury Putrajaya Avenue dan sebuah kawasan di Presint 14, Putrajaya antara 8 Jun 2023 dan 5 Mac 2025 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Mohamad Safari Abdullah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali, dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Mohammad Ariffin Abd Wahab yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kira-kira RM8,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan kerana telah digantung tugas dan gajinya ditahan susulan siasatan terhadapnya berhubung kes ini.
“Anak guam mempunyai seorang isteri dan lima anak, tiga masih belajar di universiti. Mohon mahkamah mempertimbangkan fakta tertuduh telah berkhidmat hampir 25 tahun dan menyumbang perkhidmatannya kepada negara.
“Tertuduh juga tiada risiko melarikan diri kerana telah diisytihar muflis sejak 2021 dan bersedia menerima semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan,” katanya.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan selain menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA