Lelaki ditahan miliki senjata api asli dan tiruan di Baling

Polis rampas 2 pucuk pistol, 2 senapang angin serta barangan lain

ALOR SETAR, 5 Mei – Polis Kedah menahan seorang lelaki berusia 45 tahun bersama beberapa senjata api asli dan tiruan dalam satu serbuan di sebuah premis membaiki kenderaan di Baling pada 1 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merampas dua pucuk pistol, dua laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, peluru hidup dan bebola besi.
  • Suspek dakwa senjata dibeli daripada rakan di negara jiran tahun lalu; senapang angin dipercayai dibuat sendiri.
  • Ujian air kencing positif methamphetamine; suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a), 36 Akta Senjata 1960.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu membawa kepada penahanan suspek yang bekerja sebagai mekanik.

Menurut beliau, polis turut merampas dua pucuk pistol, dua laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, peluru hidup, bebola besi serta beberapa barangan lain.

“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh senjata api tersebut daripada rakannya di negara jiran sekitar tahun lalu dengan harga antara RM1,300 hingga RM1,500. Senapang angin pula dipercayai dibuat sendiri oleh suspek.

“Suspek mendakwa semua senjata berkenaan adalah untuk koleksi peribadi dan setakat ini tiada maklumat menunjukkan ia digunakan untuk tujuan lain,” katanya pada sidang media di sini.

Tambah beliau, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek kini direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.