Peniaga di Kuantan lega sewa premis kerajaan dikurangkan

Peniaga di Pahang berkata, penurunan sewa berpotensi menarik lebih ramai peniaga baharu untuk menyewa premis perniagaan milik kerajaan /Foto BERNAMA

KUANTAN, 6 Mei – Langkah menurunkan kadar sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan disambut baik oleh peniaga kecil di Kuantan yang menyifatkan inisiatif itu mampu meringankan beban kos operasi yang semakin meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurangan sewa berpotensi menarik lebih ramai peniaga baharu menyewa premis perniagaan milik kerajaan.
  • Peniaga berharap lebihan kos dapat digunakan untuk pemasaran, bil utiliti, bahan mentah dan penambahan modal.
  • Turunan sewa boleh membolehkan peniaga menurunkan harga jualan dan menarik lebih ramai pelanggan.
  • Perdana Menteri arahkan penurunan kadar sewa agensi persekutuan; kerajaan negeri dan PBT digesa; kadar baharu akan diumumkan.

Rata-rata peniaga turut melihat usaha berkenaan berpotensi menarik lebih ramai peniaga baharu untuk menyewa premis perniagaan milik kerajaan.

Peniaga barang telekomunikasi, Siti Noratikah Mohamad berkata, pengurangan sewa dapat membantu peniaga menyalurkan lebihan kos untuk tujuan lain seperti pemasaran dan pembayaran bil utiliti.

“Kita boleh guna kos itu untuk pemasaran atau tambah modal lain. Kalau sewa dikurangkan, kita boleh manfaatkan untuk kos lain seperti elektrik yang agak tinggi,” katanya.

Bagi tukang jahit, Farah Naemah Mohamad pula, pengurangan kadar sewa memberi kelegaan dalam mengurus kos bahan mentah perniagaan.

“Saya sebagai penyewa premis Majlis Amanah Rakyat (MARA) rasa bersyukur dapat kurangkan kos sewaan, jadi boleh beli barang untuk jahitan,” katanya.

Sementara itu, peniaga aksesori, Noraniza Mohamad berharap penurunan sewa dapat diteruskan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kalau betul-betul dapat, memang sangat bagus untuk perniagaan. Sekarang ini banyak kos naik,” menurutnya.

Peniaga baju kanak-kanak dan aroma terapi, Khairunnisa Abu Bakar pula berkata, pengurangan sewa berpotensi membantu menurunkan harga jualan serta menarik lebih ramai pelanggan.

“Setakat ini harga masih mampu milik, cuma kalau dapat murah lagi kita boleh turunkan harga jualan. Mungkin boleh tarik lebih ramai pelanggan sebab di sini masih kurang penyewa,” katanya.

Bagi pengusaha kedai percetakan, Andy Helmi Tajuddin, penurunan sewa akan membantu peniaga menawarkan harga lebih kompetitif kepada pelanggan.

“Kalau dapat turunkan, ia banyak membantu dari segi kos. Kita pun boleh kurangkan harga jualan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi Kerajaan Persekutuan seperti MARA dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) diturunkan bermula bulan ini bagi meringankan beban peniaga kecil.

Selain itu, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) turut digesa mengambil langkah sama bermula bulan ini.

Pelaksanaan itu bertujuan membantu peniaga yang terkesan akibat peningkatan kos, manakala kadar baharu sewaan akan diumumkan dalam masa terdekat.