Insentif RM200: Pesawah mahu agihan lebih bersasar dan disalur segera

Pesawah melakukan kerja-kerja menyemai benih padi di petak sawah/Foto fail BERNAMA

YAN, 6 Mei – Golongan pesawah berharap bayaran pendahuluan RM200 sehektar di bawah Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dapat disalurkan segera bagi membolehkan kerja pembajakan dimulakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan memberi kelegaan kerana pesawah berdepan kenaikan kos dan kekurangan bekalan air.
  • Kebanyakan pesawah sudah mulakan pembajakan tetapi menghadapi peningkatan kos sehingga RM450 sehektar.
  • Pesawah mahu bantuan lebih bersasar dan diberi keutamaan kepada pesawah kecil yang terkesan.
  • Pesawah menggesa penyelesaian jangka panjang untuk atasi padi angin, penyakit tanaman; pengusaha jentera risau kos diesel dan alat ganti.

Bantuan itu disifatkan memberi kelegaan besar dalam keadaan pesawah berdepan kenaikan kos dan kekurangan bekalan air.

Ini terutama selepas hujan mula memenuhi petak sawah susulan kemarau panjang.

Tinjauan di Kampung Kuala Dulang Kecil mendapati kebanyakan pesawah sudah memulakan pembajakan bagi kaedah tabur terus, namun berdepan peningkatan kos sehingga RM450 sehektar.

“Bantuan ini memang membantu untuk mulakan pembajakan. Sebelum ini sawah kering, sekarang jentera sudah boleh bergerak. Cuma kami harap bantuan ini lebih bersasar,” kata Pengerusi JKPKPP Kampung Kuala Dulang Kecil, Ismail Mat Zain.

Semalam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata beliau telah mengarahkan pihak kementerian untuk memuktamadkan segera proses pelaksanaan bayaran terbabit.

Pesawah turut memohon kerajaan menilai semula pemberian insentif supaya memberi keutamaan kepada pesawah kecil yang terkesan.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini bantu kami mulakan kerja penanaman, terutama dengan kos diesel yang semakin meningkat,” kata pesawah, Mohd Rosdi Yahya

Dalam masa sama, pesawah menggesa penyelesaian jangka panjang terhadap masalah padi angin dan penyakit tanaman yang menjejaskan hasil.

“Kemerosotan hasil sekarang agak ketara. Jika tidak ditangani, masalah ini akan berterusan,” kata pesawah Basrul Saidin.

Pengusaha jentera pula memaklumkan kenaikan kos diesel dan alat ganti turut memberi tekanan kepada operasi pembajakan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan bayaran pendahuluan insentif pembajakan RM200 bagi setiap hektar sawah RM200 sehektar bagi mengurangkan beban 240,000 pesawah berdaftar.