KHM, Sawda raih anugerah SAM-100PLUS 2025

Anugerah diberikan atas pencapaian cemerlang dalam arena sukan tanah air/Foto SAM

KUALA LUMPUR, 6 Mei Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan atlet berbasikal muda negara Sawda Hasbullah terima Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) -100PLUS 2025 atas pencapaian cemerlang dalam arena sukan tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • KHM: badan dinamik dengan laluan pembangunan menyeluruh, skuad lelaki dalam kelompok 20 dunia, tempat ketiga Piala Asia dan emas Sukan SEA.
  • Kepimpinan Dato' Sri Subahan Kamal dengan komitmen tinggi, termasuk dana peribadi bernilai jutaan ringgit, memperkukuh pembangunan dan prestasi KHM.
  • Sawda Hasbullah memecah rekod remaja Asia dan mencatat rekod dunia 1km, meraih emas ACC dan pecut emas menewaskan Park Hye Rin.

Pengiktirafan KHM susulan antara badan sukan paling dinamik dalam negara selain pencapaian konsisten di pentas antarabangsa dan pembangunan ekosistem hoki tempatan yang menyeluruh.

Skuad lelaki badan induk tersebut berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, menyediakan laluan pembangunan lengkap merangkumi peringkat akar umbi hingga skuad kebangsaan.

Kejayaan KHM itu juga didorong pengurusan strategik di bawah pimpinan Presidennya, Dato’ Sri Subahan Kamal.

Beliau memberikan komitmen yang tinggi, termasuk menyalurkan dana peribadi mencecah jutaan ringgit bagi membawa KHM ke tahap baharu dalam usaha memperkukuh program pembangunan hoki tempatan dan prestasi skuad kebangsaan.

Sepanjang 2025, skuad lelaki negara Speedy Tigers, mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga saingan Piala Asia, selain terus menguasai Asia Tenggara dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Thailand.

Kecemerlangan turut dipamerkan skuad hoki lima sebelah yang meraih pingat emas di temasya sama, manakala skuad lelaki bawah 18 tahun membawa pulang pingat gangsa Piala Asia bawah 18 tahun di China.

Sementara itu, dalam kategori individu Sawda Hasbullah muncul penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik SAM-100PLUS 2025 selepas mempamerkan prestasi luar biasa di pentas antarabangsa.

Emas yang diraih pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) pada Februari tahun lepas, mengukuhkan status Sawda sebagai permata baharu sukan berbasikal negara.

Beliau mencipta sensasi apabila meraih pingat emas dalam acara satu kilometer ujian masa wanita remaja dan memecahkan rekod remaja Asia yang turut diiktiraf sebagai rekod dunia.

Kejayaan tersebut disusuli dengan emas kedua apabila berjaya menewaskan wakil Korea Selatan Park Hye Rin, 2-0 dalam acara final pecut wanita di Velodrom Nasional, Nilai.

Pengiktirafan yang diterima itu sekali gus mengukuhkan reputasi Sawda sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam sukan berbasikal negara.

Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata, faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan diraih dan kegigihan dalam meningkatkan mutu sukan hoki membolehkan KHM dipilih penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

Manakala kejayaan luar biasa Sawda menyumbang pingat emas ACC dan pemegang rekod dunia acara satu kilometer ujian masa wanita remaja, menjadi faktor pemilihannya sebagai Atlet Muda Terbaik kali ini.

“Untuk tahun ini kita merasakan sememangnya KHM layak untuk menerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik berdasarkan pencapaian serta pengurusan persatuan dan atlet yang baik.

“Dalam usia yang masih muda, Sawda mempunyai masa yang panjang untuk terus menyerlah sekali gus mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam sukan berbasikal wanita.” katanya.

Pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025, selain Anugerah Atlet Muda Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik, turut disediakan adalah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2025, wartawan sukan turut dirai berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.