
GEORGE TOWN, 6 Mei – Keputusan tidak menghantar pasukan bola sepak lelaki Pulau Pinang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 mendapat perhatian serius Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Negeri, Daniel Gooi Zi.
- Keputusan tidak hantar pasukan bola sepak lelaki Pulau Pinang ke SUKMA 2026 mendapat perhatian negeri.
- Pengerusi akan mengadakan perbincangan bersama MSN, FAP, Penang FC dan FA Penang untuk mendapatkan maklumat lanjut.
- Kegagalan memuktamadkan senarai pemain mengakibatkan negeri tidak menghantar pasukan bola sepak lelaki.
- MSNPP ambil tanggungjawab penuh, ada tuntutan siasatan dalaman, penjelasan terbuka dan pelan pembangunan bola sepak belia tersusun.
Sehubungan dengan itu, beliau sendiri akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) atau Penang FC dan FA Penang bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara berkenaan.
“Saya akan adakan mesyuarat bersama MSN, FA Penang dan Penang FC terlebih dahulu, nanti saya akan adakan sidang media bagi menjelaskan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pulau Pinang yang tidak akan menghantar pasukan bola sepak lelaki berikutan kegagalan memuktamadkan senarai pemain dalam tempoh ditetapkan peganjur.
Semalam, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu itu.
Menurut kenyataan itu, penyertaan dalam SUKMA memerlukan persiapan awal serta pematuhan ketat terhadap kriteria pemilihan, termasuk pelaksanaan program latihan berjadual dan penilaian prestasi pemain.
Susulan itu, beberapa pihak menggesa siasatan dalaman dijalankan serta hasilnya didedahkan kepada umum berhubung kegagalan pasukan bola sepak lelaki negeri itu menyertai acara berkenaan pada SUKMA 2026 yang akan berlangsung di Selangor.
Mereka turut menuntut penjelasan terbuka daripada pihak bertanggungjawab, selain mahu pelan pembangunan bola sepak belia yang lebih tersusun dan profesional diwujudkan segera, di samping kerajaan negeri memberikan perhatian serius supaya insiden sama tidak berulang.-Bernama