
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Skuad remaja negara mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih empat pingat emas dan dua perak pada Kejohanan Dodgeball Remaja Asia 2026 di Bangkok, Thailand yang berakhir semalam.
- Majoriti atlet merupakan kali pertama mewakili negara dan terdiri daripada atlet baharu.
- Keberanian, semangat juang serta komitmen tinggi membuktikan potensi besar pembangunan dodgeball negara.
- MDF menganggap kejayaan ini permulaan bermakna dan mahu sokongan moral, kewangan serta pembangunan untuk kesinambungan.
Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) dalam satu kenyataan memaklumkan empat pingat emas itu diraih masing-masing menerusi kategori Bawah 13 Tahun (B-13) campuran, B-13 lelaki, Bawah 19 Tahun (B-19) lelaki dan B-19 wanita.
Dua lagi pingat perak disumbangkan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) lelaki dan B-16 wanita.
Menurut MDF, kejayaan itu lebih membanggakan apabila majoriti atlet yang beraksi merupakan kali pertama mewakili Malaysia di pentas antarabangsa selain terdiri daripada atlet baharu.
“Keberanian, semangat juang serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh atlet ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai potensi besar dalam pembangunan sukan dodgeball pada masa hadapan,” menurut kenyataan tersebut.
Pada masa sama, MDF menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan bermakna buat negara dalam arena dodgeball di pentas Asia, meskipun kontinjen negara berdepan pelbagai cabaran dan kekangan sepanjang persiapan.
Justeru, MDF berharap lebih banyak sokongan dapat diberikan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta dari aspek moral, kewangan serta pembangunan demi memastikan kesinambungan serta kemajuan sukan dodgeball di negara ini.-Bernama