
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan rentak positif apabila kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans bagi mengharungi Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) hujung minggu ini.
- Pengalaman beraksi di Litar Le Mans dalam Red Bull Rookies Cup memberi keyakinan untuk cabar kelompok hadapan dalam saingan Moto3.
- Momentum positif dari GP Sepanyol di Jerez selepas kutip tiga mata mendorong sasaran keputusan lebih baik dan permulaan garang sejak FP1.
- Cuaca tidak menentu dan karakter teknikal Litar Le Mans cabaran utama, jadi fokus kepada penyelarasan jentera dan strategi perlumbaan.
Pelumba pasukan AEON Credit MT-Helmets-MSI itu kini menghuni tangga ke-15 keseluruhan dengan 12 mata dan meletakkan sasaran lebih tinggi selepas berjaya mengutip tiga mata berharga pada GP Sepanyol di Jerez, 24 April lalu.
Bagi pelumba kelahiran Terengganu itu, Le Mans bukanlah litar asing kerana di venue sama, Hakim Danish pernah mencuri tumpuan ketika beraksi dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu.
Pengalaman berkenaan dilihat mampu menjadi suntikan keyakinan buatnya untuk kembali mencabar kelompok hadapan, meskipun mengakui tahap persaingan dalam kelas Moto3 jauh lebih sengit.
“Menjelang Pusingan 5 di Le Mans, ia adalah antara litar yang saya gemari. Saya mempunyai pengalaman beraksi di sini pada saingan Red Bull Rookies Cup tahun lalu, namun kali ini cabarannya berbeza dalam Moto3.
“Berbekalkan momentum positif daripada perlumbaan lalu, saya menyasarkan keputusan lebih baik pada pusingan ini. Saya perlu bermula garang sejak sesi latihan bebas pertama (FP1), cepat menyesuaikan diri dengan litar serta corak tunggangan dan kekal fokus sepanjang perlumbaan,” katanya.
Pada masa sama, faktor cuaca yang tidak menentu serta karakter teknikal litar di Le Mans dijangka menjadi cabaran utama buatnya sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Justeru, fokus utama kini terarah kepada usaha memperkemaskan aspek teknikal jentera dan strategi perlumbaan agar mampu tampil lebih kompetitif.
Pusingan kelayakan GP Perancis dijadualkan petang Sabtu waktu Malaysia, manakala perlumbaan utama berlangsung pada Ahad.