
BANGI, 5 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan susulan peningkatan kes rasuah yang semakin kompleks termasuk melibatkan penggunaan teknologi digital dan urusan rentas sempadan.
- SPRM tekankan peningkatan profesionalisme, ketelusan dan integriti dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.
- Menghadapi cabaran persepsi serta kepercayaan awam dalam era maklumat tanpa sempadan.
- APC 2025 bertemakan 'Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang' menonjolkan budaya kerja berintegriti.
- Perolehan pengiktirafan antarabangsa melalui kerjasama strategik dan memorandum persefahaman dengan UAE dan Arab Saudi.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata perkembangan tersebut memerlukan warga agensi mempertingkat tahap profesionalisme, ketelusan dan integriti dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.
Menurut beliau, SPRM turut berdepan cabaran baharu dari segi persepsi dan kepercayaan awam dalam era maklumat tanpa sempadan apabila setiap tindakan penguatkuasaan sentiasa mendapat perhatian masyarakat.
“Evolusi modus operandi rasuah kini semakin canggih, melibatkan penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan yang lebih tersusun.
“Adalah penting untuk kita terus memperkukuhkan daya tahan organisasi, meningkatkan kompetensi warga kerja serta mengamalkan budaya kerja berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) SPRM 2025 bertemakan ‘Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang’ di sini hari ini.
Seramai 233 warga SPRM menerima APC tahun ini melibatkan 146 penerima dari ibu pejabat dan 87 lagi dari peringkat negeri.
Selain itu, sebanyak 33 Anugerah Khas dan dua Anugerah Emas turut disampaikan menerusi Anugerah Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) daripada 67 pencalonan yang diterima.
Tan Sri Azam berkata pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam organisasi berkenaan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.