
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Organisasi media digalak mengemukakan permohonan segera bagi Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang kini memasuki fasa kelima pelaksanaannya.
- Permohonan fasa kelima dibuka 1 hingga 14 Mei; pihak media diminta memohon segera.
- Setiap organisasi layak memohon sehingga RM300,000 bagi projek inovasi media.
- Inisiatif bertujuan membantu organisasi menghadapi cabaran perubahan landskap pengiklanan semasa.
- Dana merangkumi latihan, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta pengukuhan sokongan dan kandungan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, permohonan bagi fasa tersebut dibuka mulai 1 hingga 14 Mei, dengan setiap organisasi layak memohon sehingga RM300,000.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan membantu organisasi media mendepani cabaran perubahan landskap pengiklanan semasa.
“Bagi fasa pertama, sebanyak 34 organisasi telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM12.38 juta, manakala permohonan bagi fasa kedua hingga keempat masih dalam peringkat penelitian.
“Pada masa ini, fasa kelima telah dibuka untuk permohonan dari 1 hingga 14 Mei.
“Saya berharap organisasi media yang belum mengemukakan permohonan agar merebut peluang ini kerana sekiranya dana habis, tiada lagi pembukaan fasa baharu pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, dana tersebut merangkumi empat skop utama iaitu latihan kepada pekerja media, perisian dan adaptasi teknologi, peralatan serta pengukuhan kemudahan sokongan dan kandungan.