Kenderaan guna identiti bomba bukan milik JBPM Kedah

Foto JBPM Kedah

ALOR SETAR, 28 Oktober – Sebuah kenderaan persendirian yang menggunakan tulisan “Bomba” serta dilengkapi lampu amaran khas disahkan bukan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Kedah sedang mengambil tindakan lanjut susulan penularan video berkenaan.
  • Jabatan memandang serius penyalahgunaan identiti bomba yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan imej.
  • Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan.
  • Tular video memaparkan kenderaan didakwa hampir merempuh beberapa kenderaan selepas melanggar lampu isyarat.

JBPM Kedah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan lanjut susulan penularan video yang memaparkan kenderaan berkenaan di media sosial.

Jabatan itu memandang serius penyalahgunaan identiti kebombaan yang berpotensi mengelirukan orang ramai, selain menjejaskan imej dan kredibiliti perkhidmatan bomba.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan awam.

JBPM Kedah turut menghargai keprihatinan masyarakat yang menyalurkan maklumat berkaitan dan menggalakkan orang ramai memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya.

Terdahulu, tular video berdurasi lima saat yang memaparkan sebuah kenderaan persendirian dengan tulisan “Bomba” dan lampu amaran khas, yang didakwa hampir merempuh beberapa kenderaan lain selepas melanggar lampu isyarat di Sungai Petani.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.