
LIUYANG, 6 Mei – Angka kematian akibat letupan dahsyat kilang bunga api di tengah China meningkat kepada 26 orang, dengan 61 lagi cedera.
- Letupan berlaku di Syarikat Pembuatan dan Pameran Bunga Api Liuyang Huasheng, Liuyang, wilayah Hunan.
- Pihak berkuasa arah hentikan pengeluaran kilang bunga api di Hunan untuk pemeriksaan keselamatan; polis menahan pengurusan bagi siasatan.
- Kerajaan hantar pakar dan lebih 480 penyelamat; zon kawalan 3 kilometer diwujudkan dan orang berdekatan dipindahkan.
Menurut pihak berkuasa, letupan berlaku kira-kira pukul 4:43 petang Isnin di Syarikat Pembuatan dan Pameran Bunga Api Liuyang Huasheng di Liuyang, wilayah Hunan.
Susulan letupan itu, semua pembuat bunga api di ibu kota wilayah Hunan telah diarah menghentikan pengeluaran bagi menjalani pemeriksaan keselamatan.
Video yang tular di media sosial menunjukkan letupan berterusan disertai dengan kepulan asap tebal naik ke udara di kawasan luar bandar yang dikelilingi oleh pergunungan.
Rakaman dron yang diambil sehari kemudian menunjukkan terdapat serpihan yang membara dengan pekerja penyelamat dan jengkaut menyelongkar runtuhan.
“Kami berasa amat sedih dan dukacita dengan bencana yang berlaku,” kata Datuk Bandar Changsha, Chen Bozhang sambil menambah bahawa kerja mencari dan menyelamat mangsa pada dasarnya selesai.
Kerajaan pusat telah menghantar pakar untuk membimbing usaha menyelamat, di samping lebih 480 penyelamat turut dihantar segera ke lokasi.
“Mereka telah mewujudkan zon kawalan sepanjang 3 kilometer di sekitar tapak dan memindahkan orang berdekatan. Polis telah menahan pengurusan syarikat berkenaan sementara siasatan terhadap punca insiden diteruskan,” katanya.
Presiden Xi Jinping juga menyeru “usaha habis-habisan” untuk merawat individu yang cedera, mencari orang hilang dan mereka yang bertanggungjawab atas kebakaran terbabit.
Liuyang ialah hab bunga api utama, menghasilkan sekitar 60 peratus bunga api yang dijual di China dan 70 peratus daripada bunga api yang dieksport.
Kemalangan industri termasuk dalam industri bunga api adalah perkara biasa di China kerana piawaian keselamatan yang longgar.
Tahun lalu, letupan di sebuah lagi kilang bunga api di Hunan mengorbankan sembilan orang, manakala pada 2023 menyaksikan tiga orang maut selepas letupan melanda bangunan kediaman di bandar utara Tianjin.
Pada Februari, letupan berasingan di kedai bunga api di wilayah Hubei dan Jiangsu menyebabkan 12 orang meninggal dunia.-AFP