Vietnam-India bincang isu pertahanan, rundingan ekonomi

Foto AFP

NEW DELHI, 6 Mei – Presiden Vietnam, To Lam mengadakan lawatan tiga hari ke India dengan agenda utama perbincangan tertumpu kepada isu perdagangan dan pertahanan ketika bertemu Perdana Menteri, Narendra Modi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama difokuskan pada pengukuhan pertahanan, teknologi dan rundingan ekonomi berikutan peningkatan ketegangan serantau dan gangguan perdagangan.
  • Lawatan menandakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif; diiringi delegasi perniagaan besar termasuk lawatan ke hab kewangan Mumbai.
  • Perdagangan dua hala hampir AS$15.8 bilion pada 2025; perbincangan dilaporkan mengenai perjanjian AS$700 juta untuk peluru berpandu BrahMos, tanpa butiran rasmi.

Kementerian Luar India berkata rundingan itu akan “membuka jalan baharu untuk kerjasama” antara Hanoi dan New Delhi.

“Fokus utama untuk mengukuhkan pertahanan, teknologi dan rundingan ekonomi, berikutan peningkatan ketegangan serantau dan gangguan perdagangan,” katanya.

Lawatan ini penting kerana ia menandakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara India dan Vietnam.

Lam memulakan lawatannya ke India dengan mengadakan lawatan ke tapak ziarah Buddha Bodh Gaya.

Beliau diiringi oleh delegasi perniagaan yang besar termasuk dijadual melawat hab kewangan India Mumbai.

Perdagangan kedua-dua negara mencecah hampir AS$15.8 bilion pada tahun 2025 yang menyaksikan syarikat Vietnam seperti gergasi kenderaan elektrik, VinFast telah berusaha untuk menembusi negara yang paling ramai penduduk di dunia itu.

Media India turut melaporkan perbincangan berkemungkinan melibatkan potensi perjanjian AS$700 juta untuk peluru berpandu jelajah BrahMos jarak jauh India tetapi tiada butiran rasmi diberikan.

“Lam juga bertemu Penasihat Keselamatan Negara Ajit Doval  untuk membincangkan pengukuhan perkongsian antara negara,“ kata jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal.-AFP