
PUTRAJAYA, 6 MEI 2026 – Usaha memburu dan memulihkan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus mencatat kejayaan besar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang empat karya seni ikonik bernilai tinggi dari New York, Amerika Syarikat.
- Empat karya seni bernilai USD198,125 (RM786,000) kini di bawah jagaan SPRM untuk diserahkan kepada Balai Seni Negara.
- Empat daripada 12 lukisan yang dikenal pasti berkaitan dana 1MDB telah berjaya dipulihkan.
- Pemulihan dilakukan melalui proses sah termasuk pelaksanaan Power of Attorney oleh USDOJ melalui Jabatan Peguam Negara.
- Kadar pemulihan aset 74.5% bersamaan RM31.3 bilion daripada RM42 bilion, melepasi sasaran kerajaan 70%.
Empat karya seni berkenaan yang dianggarkan bernilai sekitar USD198,125 (RM786,000) itu diperoleh melalui transaksi di Pusat Lelongan Sotheby’s sebelum kini ditempatkan di bawah jagaan SPRM untuk diserahkan kepada Balai Seni Negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan terbaharu itu menjadikan empat daripada 12 lukisan yang dikenal pasti berkaitan dana 1MDB telah berjaya dipulihkan setakat ini.
“Karya seni ini bukan dirampas secara fizikal, tetapi diserahkan melalui proses sah termasuk pelaksanaan Power of Attorney (POA) oleh pihak USDOJ kepada SPRM melalui Jabatan Peguam Negara, ini membuktikan bahawa pendekatan pemulihan aset adalah berasaskan undang-undang dan diplomasi yang teliti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pagi ini.
Antara karya yang berjaya dipulihkan ialah Joan Miró – Composition (1953), Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique (1934), Balthus – Étude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyère et les clowns (1961).
Menurutnya, pemulihan aset berkenaan adalah hasil kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan antarabangsa termasuk FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US Department of Justice), yang menjadi pemangkin utama kejayaan operasi rentas sempadan tersebut.
Tan Sri Azam turut memaklumkan SPRM kini sedang giat menjejaki kira-kira AS$2 bilion (RM7.9 bilion) lagi aset berkaitan 1MDB dan menyasarkan untuk memulihkannya menjelang akhir tahun 2027.
“Usaha untuk memulangkan lagi kira-kira RM2 bilion merupakan satu cabaran besar yang perlu ditempuh pada masa akan datang, khususnya dari segi aspek perundangan dan proses berkaitan,” katanya.
Tambah beliau, kadar pemulihan aset 1MDB setakat ini telah mencapai 74.5%, bersamaan RM31.3 bilion daripada RM42 bilion yang diselewengkan, sekali gus melepasi sasaran awal kerajaan iaitu 70%.
Antara aset lain yang turut berjaya dipulihkan sebelum ini termasuk kapal mewah Equanimity, jet peribadi, hartanah luar negara serta penyelesaian global dengan institusi kewangan antarabangsa.