KLUANG, 15 Disember- Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras susulan banjir kilat yang berlaku berhadapan bangunan Persatuan Eng Choon di Jalan Ismail, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian menimpa Ab Manan Keri, 73, kira-kira jam 4.15 petang semalam dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dilihat polis pada jam 11.30 pagi ini.
Beliau berkata, sebelum itu, mangsa dilihat berjalan mengharungi air banjir kilat di kawasan berkenaan.
"Laporan polis dibuat keluarga mangsa pada 10.45 malam tadi dan menerusi pencarian di tempat kejadian, orang awam menemui beg silang milik mangsa.
"Pencarian dilakukan di sepanjang empat kilometer Sungai Mengkibol dengan kekuatan lebih 50 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian berdekatan Taman Pelangi di sini, hari ini.
Operasi pencarian melibatkan 13 anggota polis dan bomba ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat dan akan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am untuk penambahan aset termasuk penggunaan dron jika diperlukan.
Terdahulu, media melaporkan, beg silang milik bekas komando, Ab Manan Keri, 73, yang dilaporkan hilang ditemui orang awam di Jalan Ismail, malam tadi, tidak jauh dari lokasi majlis jamuan teh yang dihadiri mangsa.