fb fb fb fb fb

Wanita warga emas melecur, dapur terbakar

Foto: JBPM Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 12 Februari- Seorang wanita warga emas melecur di bahagian tangan selepas dapur di kediamannya terbakar dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Midland, di sini pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 pagi sebelum jentera Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa, Tan Hong Keok @ Tan Moy Hong, 79, telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati ruang dapur itu terbakar dan seorang penghuni iaitu wanita warga emas mengalami kecederaan melecur di tangan dan telah diselamatkan sebelum dihantar ke hospital oleh ambulans.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dalam rumah itu dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI