Penjawat awam Terengganu terima bantuan khas Aidilfitri RM500

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar / FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Semua penjawat awam negeri Terengganu menerima bantuan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri menyalurkan bantuan khas Aidilfitri; jumlah kekal seperti tahun lalu dan pembayaran telah mula disalurkan hari ini.
  • Bantuan diberikan sebagai penghargaan kepada kakitangan kerajaan negeri menjelang sambutan Aidilfitri.
  • Kerajaan negeri menyumbang RM10,000 kepada setiap PERMATA di lima zon untuk memperkukuh pengurusan dan program mahasiswa.
  • Tiada sekatan terhadap rumah terbuka atau majlis perayaan yang menggunakan dana awam oleh jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata jumlah bantuan itu kekal seperti tahun lalu dan pembayaran telah mula disalurkan kepada penerima hari ini.

Menurut beliau, bantuan khas tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada semua kakitangan kerajaan negeri menjelang sambutan Aidilfitri.

“Mengambil kira kita akan berhadapan dengan Hari Raya, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menyalurkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada semua kakitangan kerajaan negeri tanpa mengira peringkat, dan pembayaran telah disalurkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Duyong, di sini.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada setiap PERMATA di lima zon iaitu Utara, Selatan, Timur, Tengah dan Borneo.

Sumbangan itu bertujuan memperkukuh pengurusan persatuan serta menyokong pelaksanaan program pembangunan mahasiswa.

Sementara itu, mengulas mengenai rumah terbuka Aidilfitri di Terengganu, Ahmad Samsuri menegaskan tiada sebarang sekatan terhadap program yang menggunakan dana awam.

Menurutnya, ia termasuk rumah terbuka atau majlis sambutan perayaan yang dianjurkan oleh jabatan dan agensi kerajaan secara sendiri.